Saturday, July 30, 2011

harapan ramadhan

suatu malam, hasan termenung sendirian di halaman rumah.bertemankan rokok daun serta secawan kopi tanpa gula, hasan berperang rasa.masalah yang kian membelenggui diri semakin hari semakin merobek jiwa remajanya.selama 18 tahun dia hidup di dunia, ini masalah yang kedua terbesar dihadapinya.hasan benar-benar buntu.

dulu, hasan hampir gila bila kura-kura kesayangannya mati lemas dalam bekas makanan.seminggu lebih hasan tiada selera makan.dan seminggu lebih itu juga tidurnya bertemankan mimpi ngeri; kura-kura gergasi sebesar mesin padi datang menuntut nyawa darinya.terjaga saja dari tidur, hasan terjerit-jerit umpama kucing dipijak ekornya.berlinangan airmata sampai basah bantal.

tapi kini hasan sedang berperang dengan masalah melibatkan hati dan perasaan.zabedah.ya zabedah.anak dara sunti pak kasim.nama yang sering berterbangan dalam kotak fikirannya.tiap malam sebelum tidur, hasan pasti memikirkan soalan yang diajukan zabedah tempoh hari."puasa tahun lepas hasan dah ganti belum?".hasan hanya membatukan diri ketika menerima soalan pembunuh dari pujaan hatinya.

"macam mana nie? puasa tahun lepas masih berbaki 12 hari.haishh tue la.kerja sampai tak ingat dunia.fikir nak nikah je.haishhh" getus hasan dalam hati.

*selamat berpuasa kepada kawan-kawan yang beragama islam.

Thursday, July 28, 2011

meniti titian usang

tatkala malam tiada bintang
unggas pula merajuk pulang
teringat akan insan tersayang

bila gelap hilang terang
tiada cahaya tiada bebayang
rindu terasa bukan kepalang

pokok tekun menanti cahaya
embun menitis katak teruja
hati tersentuh mengalir airmata

mentari terang pagi menjelma
burung berkicau dalam berbahasa
masih jua menanti bersama rasa

semoga.selamat.

Tuesday, July 26, 2011

manusia bodoh

ku dakap gitar usang
memetik lagu nan sumbang
tentang rasa tentang masa
aku bernyanyi menutup mata
bunyinya tak seperti dulu
mungkin kerana telah lama berdebu
mungkin kerana talinya berkarat
semua kord ku pegang jadi ralat

serak alunan suara
nyanyian rinduku
rindu yang menggigit
di jiwaku

menitis airmata kala itu
dalam sebak aku berlagu
mendayu suara kenangan kita
melintas bayangan sakit di dada
dan setelah aku lagukan
dengan kata-kata penerangan
masih juga tiada bezanya
masih seperti sekarang bukan dahulu kala

Wednesday, July 20, 2011

istana menanti

pagi itu dingin.hasan mengeliat lemah.sakit-sakit badan angkara kerja kuat dua hari lepas masih belum lega.dengan muka tak berbasuh, hasan capai rokok kegemarannya.dibalut dengan penuh perhatian lalu di bakar hujungnya.sambil menghembus asap tembakau semulajadi, hasan melempar pandangan ke luar jendela.

dari jauh kelihatan sebuah istana.memang setiap kali bangun tidur hasan akan melihat istana tersebut.tatkala itu, hatinya melonjak, bergelora dan sewaktu dengannya.mahu sangat dia melihat istana itu dengan lebih dekat.lalu menyentuh setiap sudut dan ruang istana itu.dan paling jauh angannya, mahu memiliki istana itu.

istana itu dan rumah hasan di pisahkan oleh hutan tebal dan sungai.memikirkan hal itu saja sudah membuatkan hasrat hati hasan lumpuh.entah bagaimana cara untuk ke sana.apa pula cubaan yang akan dihadapi.belum di hitung lagi masa dan juga tenaga yang bakal diguna jika kehendak hati dituruti.hasan mengeluh.

masih panjang perjalanan yang bakal dihadap hari esok.entahkan mampu entahkan tidak nak ditelan.ketika ini, hasan cuma mampu memandang dari kejauhan.mungkin esok atau lusa ada rezekinya untuk ke istana itu.bak kata orang tuah ayam nampak di kaki.tuah manusia siapa yang tahu, kan?

Sunday, July 17, 2011

jangan pernah berubah

cawan itu cawan plastik
di dalamnya penuh hipokrit
namun cawan itu tetap ada
bergerak ke sana sini tiap masa

dulunya cawan itu statik
rasa ini langsung tak terdetik
satu hari cawan pasti berubah
hanya kerana aku menunjuk salah

ini bukan cerita misteri
nie luahan dari lubuk hati
makin lama di diamkan
makin bernanah kepiluan

sebetulnya aku kecewa
ikatan yang telah terjalin sekian lama
luar dalam langsung tiada rahsia
susah senang sentiasa bersama
kini retak di telan keseronokan
yang nanti akan menghancurkan

aku rindukan cawan yang dahulu
cawan yang berkongsi rasa denganku
setiap pahit manis sejuk panas
masih setia walau jarak terbatas

Saturday, July 16, 2011

hati sulam lain

rumah papan bersulam bata
tangga tinggi dipanjat naik
terkadang tingkah silap dimata
sedangkan hati berniat baik

awan mendung gelap angkasa
hujan turun mencurah ke atap
terkadang kita tersilap kira
lain difikir lain yang di ucap

tiang seri retak seribu
belumkan tentu rumah nak roboh
usah jadikan dendam itu buku
jangan cerita yang sejemput nak diheboh

pelangi muncul selepas hujan
katak riang langit dah cerah
cuba hadapi dengan senyuman
resah gelisah hati belum sudah

Wednesday, July 6, 2011

demi masa

permulaan cerita.seorang hamba abdi mengambil keputusan mahu mengembara.mengikut gerak hati dan logik akal.tekad meninggalkan tuannya.berbekalkan pengalaman yang cetek dan cakap-cakap orang,sang hamba abdi memulakan langkah di malam yang pekat.tiada bulan menemani.maka terpaksa dia meraba-raba.takut terlanggar pokok.melangkah kakinya merentasi denai maka bermula lah episod baru dalam hidup sang hamba abdi.dengan perasaan berkobar-kobar.hari berganti hari, siang dan malam pun saling berganti.segala macam lurah dan tebing dia tempuhi.segala macam bukit dan gunung dia gagahi.segala macam duri melekat di kaki.ditegur si belang.digertak sang helang.namun sang hamba abdi tetap tidak berhenti.demi ilmu hidup yang seciput cuma, dia sanggup.

setelah berbulan-tahun mengembara.setelah beberapa kali sesat.di patah balik ke tempat asal sesat, sampailah sang hamba abdi di sebuah kampung.dilihatnya penduduk kampung tersebut ramah tamah.menegur tiap kali dia melangkah.sekilas pandang dia terpegun.terpandang si dara kampung.lantas dia terpikat.tanpa mengetahui siapa dan apa sang hamba abdi mengekori si gadis diam-diam.jauh di hati hanya ingin mengetahui milik siapa gadis tersebut.setelah berjam-jam berjalan.merentasi belukar dan sungai.si gadis masuk ke dalam gua.sang hamba abdi menghampiri.dilihatnya si gadis sedang menyiapkan makanan untuk si tua yang buta.di fikirannya mungkin bapa kepada si gadis.

"masuklah anak muda." si tua bersuara.sang hamba abdi terkejut.bagaimana si tua yang buta ini tahu akan kehadirannya.dia teragak-agak melangkah masuk.merapat ke arah si tua yang sedang baring.dipegangnya tangan si tua.berkata si tua "siapa gerangan mu anak muda.dari mana dan kenapa kau ke mari." lalu sang hamba abdi menceritakan dari mana semuanya bermula.melarikan diri dari tuannya.demi keinginan meluap-luap mahu melihat dunia.sehinggalah terpandang dan mengekori si gadis."baliklah ke tempat asalmu.di sini tiada apa yang kekal.tiada yang istimewa.pulanglah ke tuanmu.kerana dia lebih layak terhadap kau, orang muda." bicara si tua dengan suara tersekat-sekat.sang hamba abdi menjawab "bukan aku tidak mahu pulang.aku teringin sangat mahu berjumpa tuan ku.rindu ini seakan menyiat-nyiat hati ku.tapi..." sang hambda abdi diam.dia menyambung "aku perlukan masa." si tua berkata "andai masa yang kau tunggu, binasalah kau.kerna masa tidak akan pernah menunggu kau wahai anak muda.kembalilah segera sementara masih punya masa". sang hamba abdi terdiam.

Sunday, July 3, 2011

akulah kekasihmu

resah gelisah dalam hati
mengenangkan apa yang terjadi
sungguh sesak menikam jiwa
menyesal terbit menyuap rasa

andai aku tahu begini jadinya
tidak mahu ku hulur sebarang kata
biar rasa itu ku genggam sendiri
walau hatiku hangus dibakar iri

telah ku ulang berjuta kali
tiada sesiapa selain kau di hati
percaya itu sukar bagi ku
susun dengan teliti itu perlu

maafkan aku wahai sayang
aku tak sanggup kau menghilang
aku lebih rela mengunyah semua salah
andai itu mampu menghilangkan resah

jari ku hitung penuh tumpuan
menantikan hari kau kepulangan
harapan agar kau terima maafku
hanya itu satu yang aku mahu